Pelakon lagak ngeri untuk beberapa buah filem lakonan Jet Li, Ju Kun adalah salah seorang daripada 227 penumpang yang terlibat dalam insiden kehilangan pesawat Malaysian Airlines MH370 dari Kuala Lumpur ke Beijing pada Sabtu lalu.
Menurut laporan Deadline, berita ini telah disahkan oleh Netflix dan The Weinstein Company yang berkata, "Kami sangat sedih dengan berita kehilangan pesawat Malaysia Airlines MH370. Ju Kun yang merupakan salah seorang daripada penumpang merupakan sebahagian daripada produksi kami dan seorang yang berbakat. Ingatan dan doa kami adalah bersama keluarganya dalam tempoh yang sukar ini," ujar Netflix dan The Weinstein Company.
Ju Kun, seorang pakar seni pertahanan diri veteran dan merupakan pembantu koreografer pernah menjadi pelakon lagak ngeri untuk watak Jet Li untuk filem seperti "Fearless", "The Expendables" dan "The Forbidden Kingdom".
Pelakon berusia 35 tahun ini telah berada di Malaysia untuk siri "Marco Polo" yang dihasilkan oleh John Fusco dan terbitan dua syarikat berkenaan. "Marco Polo" dijangka memulakan produksi dalam tempoh tiga minggu lagi.
Ju Kun dikatakan baru sahaja menghabiskan tugasannya di Pinewood Studios, Johor Bahru dan telah mengambil penerbangan ke Beijing untuk pulang ke rumah.
"Kami semua di Malaysia sangat sedih dengan penantian ini. Ju Kun adalah seorang yang penting dan disayangi oleh keluarga Marco Polo dan bagi pihak Harvey Weinstein dan Netflix, kami sangat terkejut dengan berita ini.
"Buat masa sekarang kami akan bersama isterinya, Li Ping yang berada di Kuala Lumpur bagi memberi sokongan. Doa kami juga diberikan kepada semua penumpang lain dan keluarga mereka," ujar Fusco.
Pesawat Malaysia Airlines MH370 telah hilang daripada radar sekitar jam 1.30 pagi Sabtu lalu. Usaha mencari 227 penumpang dan 12 anak kapal masih lagi diteruskan dengan bantuan beberapa buah negara lain.
@tupai.com.my
No comments:
Post a Comment