nuffnang adv

lazada adv

Tuesday, July 3, 2012

Perutusan Aqsa Syarif Sempena Ulangtahun an-Naksah ke 45






Perutusan Sempena Ulangtahun an-Naksah ke 45

Assalamualaikum wrt bth
Dengan nama Allah maha pemurah lagi maha pengasihani
Bagi umat Islam khususnya, tarikh 5 – 10 Jun 1967 menandakan tahap yang paling rendah dalam sejarah kerana Masjid al-Aqsa kembali terjajah setelah ianya dibebaskan oleh Salahuddin al-Ayubbi kira-kira seribu tahun yang silam.

Aqsa Syarif mengajak rakyat Malaysia dan umat Islam khususnya untuk memperingati satu lagi insiden dalam siri tragedi bertimpa yang dilalui oleh rakyat Palestin. Sembilan belas tahun selepas peristiwa Nakbah, rakyat Palestin melalui satu lagi peristiwa pahit yang dikenali sebagai an-Naksah atau ‘hari kekalahan’. Peristiwa an-Naksah merujuk kepada Perang enam hari yang berlangsung dari 5 hingga 10 Jun 1967 di antara Negara-negara Arab dan Israel. Dalam tempoh sesingkat enam hari 3 negara Arab iaitu Mesir, Syria dan Jordan kehilangan wilayah dan mengalami kemusnahan yang besar dari sudut ketenteraan. Bahkan dalam tempoh tersebutlah Masjid al-Aqsa ditawan oleh tentera Israel dan terus terjajah sehingga hari ini.
Pada 8 Jun Mesir kehilangan seluruh Semenanjung Sinai yang merupakan satu kekalahan yang besar dan memberi kelebihan strategik kepada Israel untuk terus menguasai Selat Tiran yang mengawal laluan ke Laut Merah. Jalur Gaza yang dikuasai oleh Mesir sejak tahun 1948 juga jatuh ke tangan musuh.Tentera Israel juga memasuki Kota lama Baitul Maqdis dan menduduki Masjid al-Aqsa pada 7 Jun, seterusnya mara ke Sungai Jordan dan menguasai seluruh Tebing Barat yang ditadbir oleh Jordan. Apabila Mesir dan Jordan bersetuju dengan gencatan senjata yang diputuskan oleh PBB pada 8 Jun, seluruh Baitul Maqdis timur dan Tebing Barat sudah diduduki oleh tentera Israel. Syria juga memilih untuk patuh dengan gencatan senjata pada 9 Jun, namun Israel terus menceroboh wilayah Syria dan menduduki Tanah Tinggi Golan sehingga kini. Menjelang 10 Jun, Israel menguasai wilayah yang keluasannya ialah dua kali ganda dari Negara haram Israel yang didirikan ke atas wilayah Palestin pada tahun 1948. Wilayah tersebut meliputi Baitul Maqdis timur, Tebing Barat, Jalur Gaza, Semenanjung Sinai dan Tanah Tinggi Golan.
Bagi umat Islam, 7 Jun adalah tarikh yang amat memilukan kerana pada tarikh tersebutlah Masjid al-Aqsa kembali terjajah. Tentera Israel memasuki masjid al-Aqsa yang mulia dan mencemarinya dengan pelbagai perbuatan biadap. Mereka bersorak menghina umat Islam dengan melaungkan Khaibar! Khaibar! Mereka menganggap pada hari tersebut penghinaan yang ditimpakan ke atas mereka oleh umat Islam di Madinah pada zaman Rasulullah SAW ditebus dengan jatuhnya Masjid al-Aqsa ditangan Yahudi. Mereka menghina Rasulullah SAW dengan melaungkan ‘Agama Muhammad sudah mati dan hanya meninggalkan wanita-wanita; merujuk kepada Negara-negara Arab yang mengalami kekalahan teruk dalam Perang 6 hari tersebut. Mereka turut memusnahkan laluan (pintu) Maghriba dan merobohkan semua rumah-rumah rakyat Palestin yang mengadap Tembok Buraq (Western Wall) dan menukarnya menjadi satu perkarangan lapang bagi upacara keagamaan Yahudi. Tembokj Buraq mereka kuasai dan menamakannya sebagai ‘Kottel’ atau ‘Wailing wall’, satu tindakan yang jelas merampas hak umat Islam yang diperakui oleh Liga Bangsa-Bangsa sebagai warisan Islam. Israel seterusnya mengistiharkan penggabungan Baitul Maqdis barat (bahagian Baitul Maqdis yang ditawan pada tahun 1948) dan Baitul Maqdis timur (yang mereka tawan dalam Perang 6 hari) dan menamakan Baitul Maqdis (Jerusalem) sebagai ibu Negara abadi Israel yang tidak boleh dirunding buat selama-lamanya pada 26 Jun 1967.
PBB bertindak meluluskan Resolusi 242 pada bulan 2 November 1967 yang memutuskan Israel perlu berundur semula ke sempadan sebelum 1967 dan mengembalikan ‘sebahagian dari wilayah yang ditawannya’. Namun Israel telah menggunakan wilayah yang didudukinya sebagai bahan tawar-menawar (bargaining chip) untuk menciptakan perdamaian palsu melalui apa yang disebut sebagai pertukaran wilayah (land swap). Hakikatnya Israel tidak pernah berniat untuk melepaskan mana-mana wilayah di Tebing Barat dan Baitul Maqdis timur yang ditawannya. Ini adalah berdasarkan tindakan Israel yang terus menerus membina penempatan-penempatan haram di seluruh Tebing Barat bahkan di sekeliling Kota lama yang menempatkan Masjid al-Aqsa. Apabila perjanjian damai Oslo ditanda tangani pada tahun 1993, Israel meningkatkan lagi aktiviti pembinaan penempatan haram tersebut. Keadaan ini berterusan setelah persetujuan dicapai dalam Annapolis Konferens pada tahun 2007 sehingga kini. Israel terus berdolak dalih dan berselindung di sebalik pelbagai istilah perdamaian bermula dari Madrid (1991) sehinggalah Deklarasi Prinsip-prinsip Clinton (DOP – Declaration of Principles – 2001) dan Pelan Damai atau ‘Road Map’ (2003). Mereka turut membina tembok pemisah (Separation or ‘Aparthied’ wall) sepanjang 800 km dari utara ke selatan jauh ke dalam Tebing Barat untuk mengepung rakyat Palestin, membataskan pergerakan mereka dan menafikan pelbagai kemudahan asas termasuklah sumber air bersih untuk minuman dan mengairi ladang, perkhidmatan dan hak rawatan di hospital bahkan untuk mendapatkan pendidikan untuk anak-anak Palestin. Apabila HAMAS memenangi pilihanraya legislatif yang pertama dan membentuk kerajaan pilihan rakyat yang sah, Israel mengenakan sekatan dan akhirnya kepungan menyeluruh ke atas Gaza bermula pada tahun 2007 sehingga kini.
Hari ini kita menyaksikan pelbagai perkembangan positif dengan perubahan lanskap politik di timur tengah khususnya di Mesir. Perkembangan ini merupakan gugatan kepada Israel yang semakin merasa terdesak dengan kehilangan sekutu kuatnya Mesir apabila tumbangnya regim Hosni Mubarak yang merupakan boneka Amerika dan orang suruhan regim Zionis. Bahkan pada hari ini Israel terpaksa mencari rakan-rakan baru setelah sekutu-sekutu tradisinya tumbang ditangan rakyat satu persatu. Turki sudah berubah arah 180 darjah dan sistem sekular berteraskan ideologi fanatisisma Kamal Ataturk semakin tergugat, Israel hanya menunggu masa untuk dipencilkan oleh Turki. Pergolakan di Syria juga akan berakhir dengan pertukaran regim yang pastinya menjadi ancaman yang 'real' kepada Israel. Kedudukannya di tanah tinggi Golan yang tidak pernah tergugat di zaman dinasti Basyar akan goyah. Kemenangan calun Presiden FJP iaitu Muhammad Mursi dari Ikhwan Muslimin akan menjadi mimpi ngeri kepada Israel. Kemenangan ini juga akan menukar lanskap keseimbangan kuasa di Semenanjung Sinai yang dikuasai israel secara proksi yang menjerut dan menutup pintu masuk ke Gaza selama ini. Dalam perkataan lainnya, keputusan pilihanraya presiden Mesir akan memberi harapan baru kepada Gaza yang dikepung dan dikenakan sekatan oleh Israel sejak tahun 2007.
Aqsa Syarif menegaskan bahawa jalan untuk menuju perdamaian di Timur Tengah dan di Palestin hanyalah satu iaitu Israel wajib berundur ke sempadan 1967 dan melepaskan semua wilayah yang didudukinya dalam perang 6 hari, berdirinya sebuah negara Palestin berdasarkan sempadan 1967 tersebut dengan Baitul Maqdis sebagai ibu Negara Palestin yang tidak bolih dipertikaikan oleh mana-mana pihak dan hak rakyat Palestin untuk pulang ke nagara mereka wajib dihormati sepenuhnya tanpa syarat. Aqsa Syarif mengulangi pendirian negara dan rakyat Malaysia yang berdiri teguh bersama rakyat Palestin untuk tidak mengiktiraf negara Israel. Aqsa Syarif akan terus berjuang bagi mengembalikan hak rakyat Palestin, berdirinya sebuah negara Palestin yang merdeka dan pembebasan Masjid al-Aqsa sepenuhnya dari cengkaman Zionis Israel.
Prof Madya Dr Hafidzi Mohd Noor
Pengerusi
Aqsa Syarif
 

No comments:

Post a Comment

Get the lowest PRICE booking by ONLINE

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...