PERDANA Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak dalam pembentangan bajet tahun lalu telah mengumumkan yang cukai barangan dan perkhidmatan (GST) akan dilaksanakan pada 1 April 2014. Susulan pengumuman tersebut, banyak pihak menyifatkan perlaksanaan cukai itu akan membebankan rakyat.
Bagaimanapun, GST telah diakui oleh 160 negara yang mengamalkan bahawa sistem tersebut adalah lebih baik berbanding cukai yang lain. Bagi mengupas sejauh mana keberkesanan GST dan sama ada akan membebankan rakyat, ikuti laporan Wacana Sinar Harian bertajuk, GST: Siapa Untung Siapa Rugi.
Wacana ini membariskan empat orang panel iaitu Profesor Pengurusan Strategi dan Pemasaran, Fakulti Pengurusan Perniagaan, Universiti Teknologi Mara (UiTM), Prof Dr Faridah Hassan, Pengarah Strategik PKR, Rafizi Ramli, Pengerusi Jawatankuasa Kira-kira Wang Negara, Datuk Nur Jazlan Mohamed, Timbalan Presiden Gabungan Persatuan-Persatuan Pengguna Malaysia (Fomca), Muhammad Sha’ni Abdullah dan moderatornya, pensyarah Fakulti Pentadbiran dan Pengajian Polisi Universiti Terknologi Mara (UiTM), Prof Madya Dr Shaharuddin Badaruddin.
Moderator: Sebagai permulaan apakah yang boleh dihuraikan mengenai GST?
Prof Dr Faridah Hassan
Pertama sekali kita perlu fahami maksud GST, iaitu cukai barangan dan perkhidmatan di mana jika diambil dari sudut lain ini cukai kepenggunaan. Cukai untuk rakyat kepada rakyat oleh rakyat. Bila bercakap mengenai cukai banyak tapisan daripada pengusaha kepada pengeluar, pemborong sehingga peruncit.
Dari sudut kebaikan cukai GST ini satu untuk semua, dan akan dilaksanakan 1 April 2015. Maka waktu itu cukai sebelum SST akan dimansuhkan buat masa ini, cukai jualan dan perkhidmatan (SST) 16 peratus dan GST dalam percaturan akan dikenakan enam peratus.
Hanya Brunei, Malaysia dan Myanmar belum laksanakan GST. Brunei mungkin tidak akan laksanakan Myanmar dalam kajian perlaksanaan. Tetapi negara jiran yang lain seperti Indonesia dan Singapura sudah lama memperkenalkan GST. Singapura telah mulakan GST secara berperingkat daripada tahun 1997 dengan tiga peratus kini telah menjadi tujuh peratus.
Pengetahuan secara berperingkat ini dibuat supaya rakyat dapat memahami dan tidak menyebabkan kekeliruan serta kebimbangan rakyat. GST bukan cukai baru, sudah 160 negara dari lima benua telah melaksanakannya.
Jumlah enam peratus adalah antara terendah berbanding negara Asean yang lain seperti Jepun, Taiwan. Negara lebih maju seperti Norway mengenakan cukai sebanyak 25 peratus, Afrika 40 peratus Turkmenistan kini hampir 40 peratus dan negara Eropah juga telah hampir 20 peratus.
Apa yang perlu difahami ketika ini adalah bagaimana proses itu bermula pengeluar sehingga ke peruncit. Mereka perlu mengisytiharkan cukai tersebut mengikut kehendak yang akan dilaksanakan. Dari segi pendidikan perlu ditingkatkan dan diulangi kerana tidak mencukupi untuk rakyat fahami dengan hanya sekali penerangan, perlu difahamkan mengenai kebaikan jangka panjang oleh rakyat.
Apabila GST dilaksanakan tahun depan, 10 peratus barangan dan perkhidmatan sahaja akan berlaku kenaikan harga, manakala 40 peratus pula harga turun dan 50 peratus lain pula kekal.
Sebagai seorang pendidik saya rasa banyak kajian perlu dilakukan ke atas rakyat kerana rakyat lebih tahu apa yang perlu di cukai dan dikecualikan.
Moderator: GST bukan cukai baru dan sudah pasti kajian perlu dilakukan dan sepatutnya sudah dilakukan 10 tahun yang lalu. Kenapa tuan mengatakan GST itu hanya memberikan satu peratus keuntungan tetapi 99 peratus merugikan rakyat, adakah itu benar atau hanya diperbesarkan PR?
Rafizi Ramli
Gambaran bahawa cukai jualan dan perkhidmatan (SST) adalah 16 peratus adalah salah, kerana cukai jualan adalah 10 peratus dan enam peratus adalah perkhidmatan. Cukai barangan itu hanya dikenakan barangan yang dikeluarkan daripada kilang
SST dan GST tidak sama, SST dikenakan kepada pengeluar produk antara 10 peratus atau enam peratus, bukan 16 peratus. Ia diulang-ulang seolah-olah berlaku penurunan cukai yang tinggi, itu tidak betul.