nuffnang adv

lazada adv

Friday, June 14, 2013

Teliti Undang-Undang Internet Untuk Dikuatkuasa Di Malaysia


Oleh Faizal Hassan

KUALA LUMPUR, (Bernama) -- Ramai yang setuju supaya kerajaan mencari jalan penyelesaian kepada penyalahgunaan media sosial dan Internet melalui undang-undang baharu atau mengemaskini undang-undang sedia ada.

Namun ramai juga yang mencadangkan supaya faktor budaya masyarakat negara ini perlu diambil kira dan tahap kesesuaian undang-undang Internet di Barat perlu diteliti sebelum ia boleh digunapakai.

Sensitiviti kaum, nilai sejarah, tahap pendidikan dan kesediaan warga Malaysia menerima undang-undang ini perlu terlebih dahulu dititikberatkan.

Dekan Fakulti Komunikasi dan Pengajian Media, Universiti Teknologi Mara (UiTM) Prof Dr Azizul Halim Yahya berkata di Amerika Syarikat misalnya, walaupun rakyat bebas bersuara baik di alam maya dan realiti, namun masih terikat dengan pelbagai akta yang menjaga dan melindungi mereka seperti Akta Hasutan, Akta Buli dan Pencerobohan Privasi.

Masyarakat negara itu perlu berhati-hati ketika berkata-kata sehingga boleh membezakan yang mana satu gurauan dan yang mana perkara serius terutama jika melibatkan isu negara, presiden dan sebagainya.

"Contoh lain, jika buat fitnah, orang yang difitnah itu boleh lawan tuduhan (jika fitnah itu palsu) dan jika mereka yang buat fitnah didapati bersalah, mereka boleh dikenakan hukuman. Namun perkara ini jarang berlaku di Malaysia.

Sesetengah rakyat kita keliru dengan isu fitnah atau perihal Akta Hasutan," katanya.

KEBEBASAN DENGAN TANGGUNGJAWAB

Beliau berkata seharusnya kebebasan bersuara perlu disertai rasa tanggungjawab termasuk bersedia untuk dihadapkan ke mahkamah.

Baru-baru ini, Menteri Komunikasi dan Multimedia, Datuk Seri Ahmad Shabery Cheek dilaporkan berkata kerajaan akan melihat peraturan Internet di tiga buah negara, iaitu Amerika Syarikat, Britain dan Australia dalam usaha membendung penyalahgunaan media sosial di negara ini.

Internet di Amerika Syarikat dikawal selia oleh satu set undang-undang di sebalik ia mengamalkan kebebasan bersuara terhadap persekutuan dan negeri.

Pihak berkuasa boleh merampas domain profil pengguna dan komputer tanpa notis dan mampu menyebabkan laman web tidak dapat meneruskan operasi.

Di Australia, kandungan Internet dikawal selia Australian Communications and Media Authority (ACMA) yang mempunyai kuasa untuk menguatkuasakan sekatan pada kandungan Internet dalam negara.

Pihak berkuasa negara itu juga boleh menyenarai hitam laman web luar negara selain menapis perisiannya.

Tumpuan sekatan terutama kepada pornografi kanak-kanak, keganasan seksual, dan aktiviti haram lain yang dilakukan hasil proses aduan pengguna.

Di Britain pula penapisan Internet termasuklah menyekat akses kepada laman web, menguatkuasa undang-undang jenayah penerbitan atau pemilikan bahan tertentu, termasuk, fitnah, hak cipta, hasutan keganasan dan pornografi kanak-kanak.

Internet Watch Foundation (IWF) ditubuhkan untuk menyusun dan mengekalkan satu senarai hitam, terutamanya URL pornografi kanak-kanak, maka 98 peratus daripada pelanggan Internet komersil di negara itu ditapis.

SESUAIKAN DENGAN BUDAYA

Azizul berkata negara ini telah mempraktik dan mengguna pakai undang-undang yang hampir sama dengan Britain seperti Akta Hasutan 2013 Britain (yang baharu) namun negara tersebut lebih cekap dan pantas mengambil tindakan kerana telah lama melaksanakannya.

Di Malaysia sudah terlalu banyak kes fitnah baik di alam maya dan realiti sehingga tidak tahu di mana asas dan hujung pangkalnya.

Jadi cadangannya ialah pihak berkuasa perlu ambil tindakan cepat dan jangan bertolak ansur dengan mereka yang mengeluarkan kenyataan fitnah kerana kalau tidak dibendung, keharmonian negara tergugat dan keadaan boleh menjadi huru-hara, katanya.

Timbalan Pengarah Pejabat Hubungan Industri Universiti Islam Antarabangsa (UIA) dan bekas Ketua Jabatan Komunikasi UIA Dr Norbaiduri Ruslan berkata rakyat di Barat lebih bertanggungjawab dan faham apa hak mereka termasuk mementingkan kebebasan dan privasi di tahap yang tertinggi.

"Kita masih belum lagi berpendidikan tinggi (dalam hal ini). Bila kita sudah sedar hak kita, hak orang lain, maka kita akan tahu jaga perilaku kita di alam maya dan realiti.

"Kempen kesedaran perlu bermula di peringkat sekolah rendah tentang bagaimana cara menjaga tatasusila di alam maya dan Internet kerana ketika ini terlalu banyak pendedahan tetapi kita kurang dan tidak kuat spiritual, personaliti dan lemah psikologi.

"Jika kita terlalu ingin (berkedudukan) sama tahap dengan negara maju, kita akan kehilangan budaya kita," katanya.

DIDIK RAKYAT MALAYSIA

Norbaiduri berkata masyarakat Malaysia perlu dididik dan diperjelaskan apa hak mereka ketika berada di media sosial dan bukan sewenang-wenangnya bersuara tanpa batasan dan mengabaikan undang-undang sedia ada.

Pengamal Undang-Undang Khairul Azam Abd Aziz berkata seseorang penulis termasuk dalam dunia maya perlu bertanggungjawab terhadap sebarang bentuk penulisannya dan bersedia menerima hukuman..

"Kalau penulisan membina, tidak perlu takut, tetapi jika mengganggu gugat ketenteraman awam, suatu bentuk peraturan harus dipatuhi," katanya.

Seorang blogger yang hanya mahu dikenali sebagai Hazrey berkata kerajaan perlu mengkaji semula akta sedia ada berkaitan sosial media demi masa depan generasi mendatang.

"Penyalahgunaan media sosial semakin berleluasa, anak muda tidak terkecuali. Apabila orang dewasa sudah buat sesuatu sesuka hati tanpa usul periksa semata-mata kerana menaruh perasaan geram, ia akan menjadi ikutan.

"Di peringkat kanak-kanak nanti akan timbul masalah pembuli siber," katanya.

--BERNAMA

No comments:

Post a Comment

Get the lowest PRICE booking by ONLINE

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...