nuffnang adv

lazada adv

Friday, June 14, 2013

Azizulhasni Tebus Hampa Dengan Juarai Acara Keirin


KUALA LUMPUR, 14 Jun (Bernama) -- Pelumba sensasi negara, Mohd Azizulhasni Awang berjaya menebus kehampaan apabila merangkul kejuaraan dalam acara keirin pada Kejohanan Berbasikal Trek Kebangsaan yang berakhir di Velodrom Kuala Lumpur, Cheras, Jumaat.

Selepas gagal meraih sebarang pingat dengan sekadar menduduki tempat keempat dalam acara pecut dua hari lepas, Azizulhasni mempamerkan kayuhan bertenaga untuk mengenepikan seorang lagi pelumba berpengalaman kebangsaan, Josiah Ng yang meraih pingat perak.

Azizulhasni mengungguli acara berkenaan dengan catatan masa 11.035 saat diikuti Josiah 11.085s, manakala pelumba Melaka, Muhd Arfy Qhairant Amran meraih gangsa dengan catatan 11.173s.

Ketika ditemui pemberita, Azizulhasni berkata kegagalan meraih sebarang pingat dalam acara pecut tidak mematahkan semangatnya untuk beraksi cemerlang dalam acara keirin yang merupakan acara kegemarannya.

Pada masa sama, beliau memuji beberapa pelumba muda yang menunjukkan peningkatan pada kejohanan yang berlangsung selama tiga hari itu.

"Pelumba junior telah menunjukkan prestasi yang baik dan setanding dengan pelumba elit pada kejohanan ini dan saya berasa tercabar melihat aksi pelumba-pelumba baharu ini.

"Saya harap kita dapat mencungkil lebih ramai lagi bakat baharu pada masa akan datang," katanya bahawa pelumba seperti Muhd Arfy Qhairant Amran, Muhammad Firdaus Mohd Zonis, Muhammad Shah Firdaus Sahrom dan Asyraf Naim Ying berpotensi untuk melangkah lebih jauh dalam sukan berbasikal pada masa hadapan.

Sementara itu, Josiah yang meraih pingat emas dalam acara pecut, sudah menjangkakan persaingan sengit antara beliau dan Azizulhasni dalam acara keirin.

"Memang biasa, jika bukan saya menjadi juara, Azizulhasni yang akan jadi juara (dalam acara keirin)," katanya.



-- BERNAMA

No comments:

Post a Comment

Get the lowest PRICE booking by ONLINE

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...