Baru-baru ini kita dimaklumkan tentang keadaan air dinegeri jiran blogger iaitu Kelantan yang dikatakan dicemari dengan bakteria e coli yang tinggi. Kalau berdasarkan berita dan khabar tersebut, rakyat Kelantan berada dalam bahaya dengan pencemaran air tersebut. |
Blogger bukanlah berniat mencampuri urusan dan masalah politik tetapi sekadar ingin menyelidik dan menyemak akan perkara sebenar. Dan ini adalah kenyataan dari Menteri Besar Kelantan yang dipetik dalam Harakah Daily : | ||
1. Saya telah ditanya pagi tadi selepas Mesyuarat Koridor Ekonomi Wilayah Timur (ECER) pagi tadi berkenaan laporan muka hadapan Mingguan Malaysia pada 20 November 2011 yang membawa tajuk “Air Kelantan Terkotor?”. Saya pada mulanya beranggapan tidak perlu untuk memberikan respon terhadap laporan akhbar Utusan Malaysia (Keluaran hari Ahad: Mingguan Malaysia) yang sudah diketahui umum sebagai akhbar yang tidak bertanggungjawab terhadap fakta dan seringkali melanggar etika kewartawanan. Saya kira masih ramai yang belum lupa bagaimana Utusan Malaysia pernah memainkan isu “Kristian Agama Rasmi Negara” satu ketika dahulu yang terbukti kemudiannya sebagai satu pembohongan semata-mata. 2. Namun, dibimbangi isu yang dimainkan ini menimbulkan polemik yang berpanjangan, saya telah mengarahkan Pengerusi Jawatankuasa Perumahan, Kerja Raya, Utiliti dan Alam Sekitar Negeri Kelantan Datuk Mejar ( B ) Md Anizam Abd Rahman untuk memberikan kenyataan menjelaskan perkara yang sebenar. Bagaimanapun, sebagai respon awal sebelum kenyataan lanjut dikeluarkan, saya ingin menarik perhatian terhadap beberapa fakta sebenar yang disorok dari pengetahuan umum oleh Utusan Malaysia. 3. Pertamanya, sukalah saya merujuk kepada surat yang dihantar oleh Suruhanjaya Perkhidmatan Air Negara (SPAN) kepada Pengurus Besar Air Kelantan Sdn. Bhd (AKSB) yang bertarikh 30 Oktober 2011 yang memaklumkan prestasi kurang memuaskan beberapa buah negeri seperti yang termaktub di dalam Laporan Pencapaian Pematuhan Kualiti Air Terawat Bagi Parameter QAP Seluruh Negara bagi tempoh Januari hingga Julai dan Januari hingga Ogos 2011 yang disediakan oleh Kementerian Kesihatan Malaysia Putrajaya. 4. Negeri-negeri yang menunjukkan prestasi kurang memuaskan itu ialah Kelantan, Pahang, Wilayah Persekutuan Labuan, Perak dan Perlis. Berdasarkan lampiran yang diberikan, kandungan E-Coli yang terdapat di dalam air terawat yang dibekalkan oleh AKSB dinilai sebanyak 0.88%. Ia lebih rendah jika dibandingkan dengan negeri Pahang (1.12%), Perak (0.90%), Perlis (1.21%) dan Wilayah Persekutuan Labuan (1.01%). Saya sedia maklum bahawa tahap yang dianggap tidak memuaskan ialah jika melebihi 4%, namun untuk dikatakan kandungan air terawat di Kelantan sebagai yang tertinggi E-Coli ialah satu tuduhan rambang yang berniat jahat. 5. Saya juga ingin melahirkan rasa hairan terhadap data yang dikemukakan oleh Utusan Malaysia yang dikatakan dirujuk kepada Panduan Industri Air Malaysia 2011 sedangkan data rasmi Panduan Industri Air Malaysia 2011 masih belum dikeluarkan dan hanya akan dikeluarkan kebiasaannya pada pertengahan tahun berikutnya iaitu sekitar bulan Jun 2011. Dari manakah Utusan Malaysia memperolehi maklumat yang masih belum dikeluarkan ini? 6. Hakikatnya apa yang disebut oleh Utusan Malaysia ini hanyalah satu lagi pembohongan yang jelas untuk memburuk-burukkan kerajaan negeri Kelantan. Jelas sekali, laporan ini tidak lain hanyalah merupakan satu usaha untuk menggunakan air Kelantan membersihkan najis lembu yang bernilai RM250 juta. 7. Nasihat saya, bertaqwalah kepada Allah SWT kerana apa yang ditulis akan disoal olehNya di akhirat kelak. Janganlah sampai fitnah yang ditabur ini menggerakkan tangan orang-orang yang dizalimi untuk melafazkan doa ke atas penabur-penabur fitnah. Ini kerana, doa orang yang dizalimi tidak akan ditolak oleh Allah SWT. Sekian, terima kasih. Yang Amat Berhormat Datuk Bentara Setia Menteri Besar Kelantan. Bertarikh: 25 Zulhijjah 1432H bersamaan 21 November 2011 Bagi pandangan blogger, sebagai wartawan ataupun blogger yang ada integriti dan maruah, kebenaran dan kewajaran dalam menulis dan mengeluarkan kenyataan adalah perlu dan dititik beratkan sebab kita perlu bertanggungjawab terhadap apa yang kita tulis dan kita ucap. Ini bermakna kita perlu berfikir selangkah ke hadapan sebelum kita menulis atau berkata-kata. Bayangkan kalau penulisan kita diambil kira untuk seratus tahun yang akan datang dan hasil kajian dan penyelidikan membuktikan ia satu pembohongan atau fakta yang salah dan fakta palsu. Di mana kredibiliti kita. Fikir-fikir dan renung-renung |
No comments:
Post a Comment