nuffnang adv

lazada adv

Showing posts with label nik aziz. Show all posts
Showing posts with label nik aziz. Show all posts

Sunday, November 27, 2011

Tazkirah... sekadar peringatan

Jiwa bersih lahir kerja kualiti | Print |
NIk Abdul Aziz Nik Mat   
Saya baru berkesempatan mengikuti sesi pengajian kitab Bidayatul Hidayah di Kompleks Kota Darul Naim pada hari Khamis lalu. Sebenarnya pengajian kitab ini pada setiap hari Khamis sudah bermula semenjak awal tahun ini dan dibuka untuk kakitangan Kompleks Kota Darul Naim, cuma dikejar oleh kepadatan jadual kerja, saya hanya sempat meluangkan masa bersama-sama kakitangan menadah kitab ini pada hari Khamis lalu. Alhamdulillah, kuliah yang disampaikan oleh Timbalan Mufti Negeri Kelantan, Yang Berhormat Dato’ Haji Nik Abdul Kadir bin Haji Nik Muhammad itu saya lihat sangat baik dan bermanfaat terutamanya ke arah melahirkan kakitangan kerajaan yang mempunyai jiwa yang bersih. Tasauf sebenarnya tidak asing di dalam Islam. Namun mungkin kerana masyarakat disibukkan dengan soal-soal fiqh, sehingga kadang-kadang terlepas pandang tentang kepentingan penyucian jiwa. Sedangkan selalunya iman iaitu amalan hati disebut terlebih dahulu sebelum amal yang merupakan amalan anggota fizikal. Firman Allah SWT :
إِنَّ الَّذِينَ آمَنُوا وَعَمِلُوا الصَّالِحَاتِ إِنَّا لَا نُضِيعُ أَجْرَ مَنْ أَحْسَنَ عَمَلًا
Yang bermaksud : Sesungguhnya mereka yang beriman dan beramal saleh, tentulah kami tidak akan menyia-nyiakan pahala orang-orang yang mengerjakan amalan(nya) dengan yang baik. – Surah al-Kahfi, ayat 30
Ayat di atas jelas sekali meletakkan bahawa beriman dan beramal soleh merupakan dua syarat yang perlu ada untuk seseorang itu diberikan ganjaran yang baik oleh Allah SWT. Bahkan betapa pentingnya iman yang merupakan gerak kerja hati, ia diletakkan lebih dahulu daripada amal. Di dalam hadis, Rasulullah SAW pernah menerangkan persoalan ihsan yang juga merupakan gerak kerja hati. Sabda Baginda SAW tentang ihsan sewaktu ditanya oleh Jibril yang datang menyerupai seorang lelaki :
أن تعبد الله كأنك تراه فإن لم تكن تراه فإنه يراك
Yang bermaksud : Kamu mengabdikan diri kepada Allah seolah-olah kamu melihat Allah, dan jika tidak (mampu membayangkan) kamu melihatnya, maka (ketahuilah) Dia melihatmu.


Justeru selagi mana roh bercampur baur dengan jasad, maka selagi itulah pengajian tasauf tidak boleh dipisahkan dengan pengajian fiqh. Bukan tidak penting berbincang tentang soal sah batal solat dan sebagainya, tetapi penting juga untuk turut dibincangkan persoalan hati yang bersih bagi memastikan amalan diterima oleh Allah SWT. Hati yang bersih sahaja yang akan menerima hidayah daripada Allah SWT. Khususnya di bulan Ramadhan ini yang disebut sebagai bulan hidayah, sekalipun hidayah datang mencurah-curah, jika tidak ditadah dengan hati yang bersih, ia tidak akan memberikan apa-apa manfaat. Umpama hujan yang turun dengan lebat dari langit, tetapi jika tidak ditadah dengan bekas atau tempayan, ia hanya akan berlalu begitu sahaja.
Oleh yang demikian, apabila pengajian tasauf dimulakan di dalam kompleks Kota Darul Naim semenjak awal tahun ini, saya sungguh-sungguh merasa gembira. Sekalipun saya rasa sudah terlewat sebenarnya pengajian ini dimulakan dengan usia kerajaan Kelantan di bawah dasar Membangun Bersama Islam yang mencecah 21 tahun pada tahun ini, saya tetap gembira dengan perkembangan positif ini. Hakikatnya, di luar pagar komples Kota Darul Naim, pengajian tasauf sudah diajar di pondok-pondok begitu lama. Tok Kenali atau nama sebenarnya Muhammad Yusuf bin Ahmad yang meninggal dunia pada tahun 1933 juga terkenal sebagai seorang tokguru tasauf. Saya amat berterima kasih kepada seluruh tuan-tuan guru pondok samada yang telah pergi atau yang masih ada bersama kita yang tidak jemu-jemu mengajar persoalan dosa pahala syurga neraka kepada rakyat Kelantan. Hasilnya, hari ini, rakyat Kelantan dikenali sebagai masyarakat beragama yang tidak senang digugat dengan gelombang jahiliyyah. Apa-apa dasar dan pelaksanaan yang selari dengan syariat Islam yang cuba diperkenalkan oelh kerajaan negeri Kelantan diterim baik oleh masyarakat kerana mereka sudah diajar oleh tuan-tuan guru pondok begitu lama. Tinggal lagi untuk mempraktikkannya di dalam kerangka undang-undang. Semoga Allah mengurniakan mereka dengan sebaik-baik ganjaran.
Hari ini, dasar Membangun Bersama Islam di Kelantan diterima dengan baik oleh rakyat. Tidak ada sebarang masalah yang timbul sekalipun dulu ramai yang melabel bahawa Islam tidak boleh memerintah. Jika adapun sedikit gangguan hanyalah ibarat nyamuk yang berdesing di luar kelambu termasuklah usaha untuk menyaman kerajaan negeri ekoran isu judi beberapa minggu lepas. Saya anggap saman ini hanyalah satu usaha untuk mengacau keharmonian rakyat Kelantan. Jika diturutkan hati, ingin saja saya perkenalkan dasar Membangun Bersama Islam dan Iman, kerana iman itulah yang berkait rapat dengan hati. Namun, bimbang nanti disalahfaham oleh golongan-golongan tertentu, saya mengira setakat ini cukup sekadar kita menyebut Membangun Bersama Islam. Itupun ada yang berpura-pura tidak faham lantas menyerang kita dari pelbagai sudut.
Apapun saya berharap semoga pengajian tasauf seperti ini berterusan sehingga berjaya melahirkan golongan pekerja yang bersih jiwanya. Saya percaya, kebersihan jiwa ini yang melahirkan kerja yang berkualiti. Dalam erti kata lain, bersih jiwa bersih amalan, insya-allah. Inilah yang menggembirakan hati saya sebagai seorang yang diberikan amanah oleh Allah SWT menerajui pentadbiran negeri Kelantan. Saya mengharapkan agar apa yang dilakukan ini menjadi ganjaran yang baik di sisi Allah SWT sebagai bekalan untuk menghadapNya kelak, insya-Allah.

NIK ABDUL AZIZ BIN NIK MAT,
Menteri Besar Kelantan

dipetik dari Harakah Daily

Fakta yang salah atau etika kewartawanan yang salah?

Baru-baru ini kita dimaklumkan tentang keadaan air dinegeri jiran blogger iaitu Kelantan yang dikatakan dicemari dengan bakteria e coli yang tinggi. Kalau berdasarkan berita dan khabar tersebut, rakyat Kelantan berada dalam bahaya dengan pencemaran air tersebut.




  Blogger bukanlah berniat mencampuri urusan dan masalah politik tetapi sekadar ingin menyelidik dan menyemak akan perkara sebenar. Dan ini adalah kenyataan dari Menteri Besar Kelantan yang dipetik dalam Harakah Daily  :





  

   

1.     Saya telah ditanya pagi tadi selepas Mesyuarat Koridor Ekonomi Wilayah Timur (ECER) pagi tadi berkenaan laporan muka hadapan Mingguan Malaysia pada 20 November 2011 yang membawa tajuk “Air Kelantan Terkotor?”. Saya pada mulanya beranggapan tidak perlu untuk memberikan respon terhadap laporan akhbar Utusan Malaysia (Keluaran hari Ahad: Mingguan Malaysia) yang sudah diketahui umum sebagai akhbar yang tidak bertanggungjawab terhadap fakta dan seringkali melanggar etika kewartawanan. Saya kira masih ramai yang belum lupa bagaimana Utusan Malaysia pernah memainkan isu “Kristian Agama Rasmi Negara” satu ketika dahulu yang terbukti kemudiannya sebagai satu pembohongan semata-mata.
2.     Namun, dibimbangi isu yang dimainkan ini menimbulkan polemik yang berpanjangan, saya telah mengarahkan Pengerusi Jawatankuasa Perumahan, Kerja Raya, Utiliti dan Alam Sekitar Negeri Kelantan Datuk Mejar ( B ) Md Anizam Abd Rahman untuk memberikan kenyataan menjelaskan perkara yang sebenar. Bagaimanapun, sebagai respon awal sebelum kenyataan lanjut dikeluarkan, saya ingin menarik perhatian terhadap beberapa fakta sebenar yang disorok dari pengetahuan umum oleh Utusan Malaysia.
3.     Pertamanya, sukalah saya merujuk kepada surat yang dihantar oleh Suruhanjaya Perkhidmatan Air Negara (SPAN) kepada Pengurus Besar Air Kelantan Sdn. Bhd (AKSB) yang bertarikh 30 Oktober 2011 yang memaklumkan prestasi kurang memuaskan beberapa buah negeri seperti yang termaktub di dalam Laporan Pencapaian Pematuhan Kualiti Air Terawat Bagi Parameter QAP Seluruh Negara bagi tempoh Januari hingga Julai dan Januari hingga Ogos 2011 yang disediakan oleh Kementerian Kesihatan Malaysia Putrajaya.
4.     Negeri-negeri yang menunjukkan prestasi kurang memuaskan itu ialah Kelantan, Pahang, Wilayah Persekutuan Labuan, Perak dan Perlis. Berdasarkan lampiran yang diberikan, kandungan E-Coli yang terdapat di dalam air terawat yang dibekalkan oleh AKSB dinilai sebanyak 0.88%. Ia lebih rendah jika dibandingkan dengan negeri Pahang (1.12%),  Perak (0.90%), Perlis (1.21%) dan Wilayah Persekutuan Labuan (1.01%). Saya sedia maklum bahawa tahap yang dianggap tidak memuaskan ialah jika melebihi 4%, namun untuk dikatakan kandungan air terawat di Kelantan sebagai yang tertinggi E-Coli ialah satu tuduhan rambang yang berniat jahat.
5.     Saya juga ingin melahirkan rasa hairan terhadap data yang dikemukakan oleh Utusan Malaysia yang dikatakan dirujuk kepada Panduan Industri Air Malaysia 2011 sedangkan data rasmi Panduan Industri Air Malaysia 2011 masih belum dikeluarkan dan hanya akan dikeluarkan kebiasaannya pada pertengahan tahun berikutnya iaitu sekitar bulan Jun 2011. Dari manakah Utusan Malaysia memperolehi maklumat yang masih belum dikeluarkan ini?
6.     Hakikatnya apa yang disebut oleh Utusan Malaysia ini hanyalah satu lagi pembohongan yang jelas untuk memburuk-burukkan kerajaan negeri Kelantan. Jelas sekali, laporan ini tidak lain hanyalah merupakan satu usaha untuk menggunakan air Kelantan membersihkan najis lembu yang bernilai RM250 juta.
7.     Nasihat saya, bertaqwalah kepada Allah SWT kerana apa yang ditulis akan disoal olehNya di akhirat kelak. Janganlah sampai fitnah yang ditabur ini menggerakkan tangan orang-orang yang dizalimi untuk melafazkan doa ke atas penabur-penabur fitnah. Ini kerana, doa orang yang dizalimi tidak akan ditolak oleh Allah SWT.
Sekian, terima kasih.
Yang Amat Berhormat Datuk Bentara Setia Menteri Besar Kelantan.
Bertarikh: 25 Zulhijjah 1432H bersamaan 21 November 2011

Bagi pandangan blogger, sebagai wartawan ataupun blogger yang ada integriti dan maruah, kebenaran dan kewajaran dalam menulis dan mengeluarkan kenyataan adalah perlu dan dititik beratkan sebab kita perlu bertanggungjawab terhadap apa yang kita tulis dan kita ucap. Ini bermakna kita perlu berfikir selangkah ke hadapan sebelum kita menulis atau berkata-kata.

Bayangkan kalau penulisan kita diambil kira untuk seratus tahun yang akan datang dan hasil kajian dan penyelidikan membuktikan ia satu pembohongan atau fakta yang salah dan fakta palsu. Di mana kredibiliti kita. Fikir-fikir dan renung-renung 

Get the lowest PRICE booking by ONLINE

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...