
(Dari kiri) Mohd Alam Shamsudin dan Abd Rashid Azizulhuk bersama rakan
serumah turut mengikuti perkembangan keluarga melalui akhbar.
PELARIAN Rohingya Islam
yang berada di Malaysia masih menaruh harapan agar episod penindasan
terhadap komuniti itu yang sudah berlangsung sejak sekian lama segera
berakhir. Harapan mereka dapat kembali bersatu dengan keluarga
masing-masing di Myanmar.
Walaupun keganasan etnik yang berlaku sejak awal Jun lalu menyebabkan
lebih 80 terbunuh manakala lebih 80,000 hilang tempat tinggal, beberapa
anggota komuniti Rohingya yang ditemui di Kuala Lumpur masih berharap
agar konflik itu segera berakhir.
Presiden Myanmar mengumumkan
pembentukan sebuah suruhanjaya 27 anggota untuk menyiasat keganasan
etnik di wilayah Barat negara itu.
Dalam pertemuan dengan Sinar Harian Online minggu lalu, Mohd Alam
Shamsudin, 47, yang berasal dari daerah Mongdu di negeri Rakhien
(Arakan) berkata, walaupun hak kewarganegaraan etniknya dinafikan, namun
ia adalah tanah kelahiran mereka.
“Mana mungkin saya lupakan tanah air saya, tanah kelahiran saya dan
kaum keluarga yang terpaksa saya tinggalkan demi keselamatan.
“Saya memutuskan untuk meninggalkan kampung halaman pada tahun 1989
dan menjadi pelarian ketika berusia 24 tahun kerana tidak tahan
menanggung penderitaan akibat ditindas.
“Orang Rakhien ketika itu memang memandang orang Islam Rohingya
dengan penuh kebencian dan setiap apa yang dilakukan oleh kami adalah
salah di mata mereka, sebaliknya apa yang mereka buat adalah betul
belaka,” katanya.
Ujar Mohd Alam, orang Rohingya bukan sahaja sukar mendapatkan status
warganegara, malah mereka juga terpaksa menghadapi diskriminasi selain
pergerakan yang dihadkan termasuk dalam isu perkahwinan serta anak.
Menyingkap bibit awal ketika berada di negara ini, Mohd Alam mengakui
pernah ditangkap pihak polis kerana tidak mempunyai dokumen perjalanan
yang sah pada 1992.
“Saya gagal menunjukkan pasport seperti yang diminta pihak berkuasa
kerana apa yang saya ada hanyalah surat daripada Pesuruhjaya Tinggi
Pelarian Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu (UNCHR).
“Saya kemudiannya dihantar ke Penjara Kajang selama dua bulan sebelum
dihantar ke Penjara Pudu selama lebih kurang tiga hari dan dihantar ke
Hadyai, Thailand.
“Dari sana, saya berusaha masuk kembali masuk ke negara ini kerana di
sana pelarian-pelarian ini dilayan dengan teruk sekali,” kata bekas
pelajar sekolah tinggi ini.
Anak saudaranya, Mohd Alam yang turut berada di negara ini, Abd
Rashid Azizulhuk, 37, berkata, walaupun pernah melalui beberapa episod
sedih sepanjang menjadi pelarian, namun hatinya tetap bersemangat untuk
meneruskan kehidupannya.
“Dari kampung, saya berjalan kaki ke Thailand yang memakan masa
berhari-hari dan bekerja di kilang pengimpal selama sembilan bulan,”
katanya. Duit yang dikumpul itulah dia gunakan untuk datang ke Malaysia
pada 1993 dengan menaiki bas. Tambang ketika itu RM25.
“Pada awal ketibaan saya di sini, saya berhadapan dengan pelbagai
kesukaran hidup termasuklah terpaksa menahan perut kerana tidak ada duit
untuk makan selama beberapa hari, tidak dibayar upah selepas selesai
membuat pekerjaan dan kesukaran berkomunikasi kerana sukar memahami
bahasa Melayu.
“Saya juga pernah ditahan selama tujuh bulan dan 27 hari di kem
tahanan pelarian di Sepang.
“Kini hidup saya lebih teratur kerana mempunyai kerja yang tetap dan
di sini saya bekerja di sebuah kilang besi,” katanya ketika ditemui di
rumah yang di sewa bersama kawan-kawan Rohingya di Kampung Cheras Baru,
baru-baru ini.
Selain Mohd Alam dan Abd Rashid, turut tinggal serumah ialah Mohd
Nesar Kamal Hussain, 40. Dia mengakui sering merindui kampung halamannya
hanya mampu mengikuti setiap perkembangan yang berlaku di Arakan
melalui televisyen ataupun akhbar.
Dia turut menyuarakan kebimbangan mengenai peningkatan ketegangan di
negara itu terutamanya sepanjang bulan Ramadan lalu.
“Saya juga ada menelefon keluarga di kampung. Saya juga tidak boleh
bayangkan kesukaran umat Islam di sana kerana walaupun mereka ada wang,
belum tentu mereka boleh membeli apa-apa,” katanya.
Selain Mohd Nesar, Noor Mohammed, 46, yang berasal dari Sittwe,
berhijrah ke Malaysia pada 1966 pada usia 28 tahun. Dia tidak dapat
kembali ke Arakan.
“Pada tahun 1995, saya baru habis belajar dalam jurusan Tafsir, Fekah
dan Hadis dari Madrasah Al-Jamiah Islamiah di Cittagong, Bangladesh.
“Ketika cuba masuk kembali Myanmar, saya telah dihalang oleh tentera
dan dituduh sebagai ektremis Islam hanya kerana penampilan pakaian saya
yang berjubah, berkopiah serta menyimpan janggut,” katanya.
Atas nasihat guru-gurunya, Noor kemudiannya datang ke Malaysia kerana
mereka berpendapat adalah lebih selamat datang ke sini kerana sebuah
negara Islam.
“Saya agak bernasib baik kerana mempunyai pasport kerana sudah lama
tinggal di Bangladesh dan berjaya mendapat status Penduduk Tetap.
“Disebabkan saya mempunyai sijil agama dan kebetulan sebuah masjid di
Sentul memerlukan imam, saya kemudiannya ditawarkan untuk bekerja di
situ,” katanya yang bertindak sebagai imam hingga sekarang.
Bapa kepada dua orang cahayamata lelaki ini berkata, setiap kali
menjelang Aidilfitri, lebih 200 orang Rohingya yang datang dari sekitar
Kuala Lumpur termasuk Ampang, Sentul dan Selayang untuk solat di masjid
itu.
Katanya, peluang inilah yang digunakan oleh sesama mereka untuk
bertanya khabar sambil mengeratkan hubungan.
Mohamad Talib Mohd Muslim, 39, yang juga sepupu Noor, merupakan rakan
sekuliah di madrasah yang sama ketika ditemui di rumahnya di Pangsapuri
Sentul Utara berkata, jika diberi pilihan untuk memilih negara ketiga,
dia tetap mahu tinggal di Malaysia kerana negara ini sangati aman dan
damai.
Mohamad Talib yang sudah berkahwin dengan seorang wanita Indonesia
tiga tahun lalu itu tiba di Malaysia 10 tahun lalu selepas tidak tahan
dengan tekanan yang dihadapi di Myanmar.
“Saya bersama 100 orang yang lain datang ke sini dengan menaiki bot
dari Myanmar dan tiba di Thailand. Dari sana saya dihantar ke Klang.
“Pada peringkat awal, saya terpaksa bertukar-tukar kerja kerana
berhadapan dengan masalah komunikasi sehinggalah sekarang saya sudah
bekerja sebagai penghantar ayam di Pasar Chow Kit.
“Walaupun dengan gaji RM45 sehari dan waktu bekerja dari 3 pagi
hingga 8 pagi, saya gembira dan bahagia di sini,” kata pemegang kad
pelarian UNHCR ini.
Penafian hak warganegara kumpulan ini bermula apabila Myanmar tidak
mengiktiraf etnik Rohingya yang berketurunan Bengali sebagai rakyatnya
kerana kumpulan itu hanya memasuki negara itu pada kurun ke-19 ketika
pemerintahan British.
Rata-rata setiap anggota etnik Rohingya yang berada di Malaysia
meletakkan harapan yang tinggi agar segala kerintangan yang dilalui akan
berakhir dalam wakt terdekat.
Bila? Itu yang menjadi tanda tanya!
sumber: http://www.kakibising.com/2012/08/kisah-pelarian-rohingya-myanmar-tanah-air-kami.html