nuffnang adv

lazada adv

Showing posts with label demam campak. Show all posts
Showing posts with label demam campak. Show all posts

Monday, May 20, 2013

MAS bantu sedia prosedur bawa pulang bayi campak



 
Penerbangan Malaysia (MAS) memberi layanan di luar perkhidmatan mereka dengan membantu menyediakan semua prosedur bagi membawa pulang dari Vietnam seorang rakyat negara ini bersama bayi perempuan berusia 14 bulan, yang dihalang menaiki pesawat tambang murah.

Izan Suhaila Mohd Ali, 36, dan Mariam Sofea Mohd Reza dihalang menaiki pesawat tambang murah itu di Lapangan Terbang Ho Chi Minh pada Sabtu malam selepas bayi perempuan berkenaan disyaki mempunyai simptom penyakit berjangkit.

Ketua Pegawai Eksekutif MAS Ahmad Jauhari Yahya berkata petugas MAS membawa Mariam Sofea berjumpa seorang doktor kerana langkah itu adalah prosedur standard untuk semua penumpang yang memiliki simptom penyakit berjangkit bagi memperoleh sijil layak menaiki pesawat.

Ini bagi memastikan tidak ada penumpang yang mendatangkan risiko kesihatan kepada penumpang lain, katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Beliau juga berkata doktor kemudian mengesahkan bayi itu tidak lagi dijangkiti dan sudah melepasi tempoh inkubasi manakala bintik hitam di tubuh Mariam Sofea sebenarnya keruping. 

"Sejurus selepas itu, MAS membantu menyediakan dokumen perjalanan untuk Izan, Maryam Sofea dan dua lagi saudara mereka. Mereka ditempah untuk penerbangan MH759 yang berlepas dari Ho Chi Minh semalam agar tidak perlu lagi bermalam di sana sekali gus terpaksa berbelanja lebih," katanya.

Ahmad Jauhari berkata petugas MAS dari Saigon turut menghantar keluarga itu ke lapangan terbang dari hotel mereka, dan apabila tiba di lapangan terbang, pasukan perkhidmatan di situ sudah bersedia dengan semua dokumentasi yang diperlukan bagi memastikan daftar masuk pantas.

"Seorang petugas diarah mengiringi keluarga itu bagi pemeriksaan Imigresen dan Kastam. Ini penting kerana terdapat persoalan berhubung cop dalam pasport mereka berikutan insiden hari sebelumnya," katanya.

Izan dan keluarganya berjaya menaiki penerbangan MH759 dan berlepas dari Saigon ke tanah air pada 4.40 petang.

Ahmad Jauhari berkata pihaknya gembira pasukan petugas MAS di Saigon memberi layanan mesra 100 peratus ala Malaysia dalam situasi ini.

Beliau berkata keupayaan pasukan itu bertindak di luar tugas mereka perlu dipuji, dan turut membanggakan mereka tidak melanggar mana-mana peraturan dalam prosedur standard.

"Saya secara peribadi ingin mengucapkan berbanyak terima kasih kepada semua petugas yang terlibat secara langsung dalam kes ini," katanya.

Penerbangan MAS berlepas ke bandaraya Ho Chi Minh tiga kali sehari. 

- Bernama

AirAsia pertahan sekatan pada pengidap demam campak




2:57PM Mei 20 2013 
Syarikat penerbangan tambang murah AirAsia mempertahankan bahawa tindakannya yang menghalang seorang bayi pengidap demam campak daripada menaiki penerbangan syarikat itu dari Ho Chi Minh pada Sabtu lalu adalah mengikut garis panduan Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO).

Satu kenyataan AirAsia di Facebook menyebut, tindakan itu bagi mengurangkan risiko jangkitan kepada penumpang lain.

“AirAsia mengikuti piawaian kesihatan global di mana para tetamu yang menghidapi demam campak hanya dibenarkan menaiki pesawat sekurang-kurangnya selepas 5 hari dari tarikh mula muncul ruam ditubuh. Ini perlu disokong oleh sijil perubatan atau surat pengesahan layak untuk terbang dari doktor bertauliah.

“Mengikut garis panduan yang ditetapkan oleh Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO), untuk mengurangkan risiko jangkitan; penumpang yang tidak sihat, terutamanya jika mereka demam, harus menangguhkan perjalanan mereka sehingga mereka sembuh. Penumpang dengan penyakit berjangkit aktif tidak dibenarkan menggunakan pengangkutan udara,” kenyataan itu dipetik.

Kenyataan itu bagi menjelaskan masalah yang dialami keluarga bayi berusia 14 bulan, Maryam Sofea Mohd Reza ,yang menjadi perhatian utama laporan media hari ini.

Antara, laporan Utusan Malaysia yang menyebut AirAsia memaksa ibu Maryam Sofea tinggal selama lima hari di negara tersebut sehinggalah bayi tersebut diisytihar selamat menaiki penerbangan.

Ibu saudara bayi tersebut, Norhamiza Mohd Ali, yang dipetik dalam laporan tersebut mendakwa AirAsia juga tidak membawa Maryam Sofea ke hospital tempatan untuk rawatan lanjut.

Laporan itu juga mendakwa, kakitangan AirAsia tidak menghiraukan penjelasan ibu Maryam Sofea, Izan Suhaila bahawa anak perempuannya sudah pulih dari demam campak.

AirAsia bagaimanapun dalam kenyataannya menegaskan bahawa tetamu tersebut tidak dibenarkan menaiki pesawat disebabkan demam campak.

“Hal ini telah disahkan oleh doktor lapangan terbang bertugas yang mengisytiharkan bayi tersebut tidak sihat untuk terbang.

“Seterusnya, AirAsia telah membuat persediaan untuk menerbangkan kembali ibu, bayi serta 2 orang dewasa secara percuma, setelah bayi itu diisytiharkan boleh menaiki pesawat oleh doktor,” kenyataan itu dipetik.

Get the lowest PRICE booking by ONLINE

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...