nuffnang adv

lazada adv

Tuesday, September 4, 2012

Air, Tonik Terbaik Untuk Badan!


Ini adalah bahagian pertama daripada dua artikel mengenai keperluan minum air untuk kesihatan badan. Namun pengamal penjagaan kesihatan memberi amaran keperluan ini hanya sesuai bagi mereka yang sihat buah pinggang dan bukan yang mengalami masalah ginjal atau masalah yang bersangkutan dengan buah pinggang.



Oleh Zulkiple Ibrahim

KUALA LUMPUR, 3 Sept (Bernama) -- Baru-baru ini, jiran penulis terpaksa menghantar anaknya ke klinik swasta di Bandar Baru Sungai Buloh dekat sini selepas anak itu mengalami cirit-birit yang agak teruk.

Di klinik itu, selain dibekalkan ubat, doktor menasihati bapanya agar memastikan anak itu minum air secukupnya.

"Ia bagi menghalang dehidrasi," jelas pengamal perubatan berkenaan.

Ia boleh berlaku bila badan hilang cecair secara berlebihan atau gagal minum air secukupnya.

Badan akan hilang cecair secara berpeluh (seperti ketika bersenam), kencing berlebihan (dalam situasi diabetis tidak terkawal atau penggunaan ubat diuretik), demam selain muntah atau cirit-birit.

"Baik minum air biasa dibandingkan air berkarbonat dan minuman lain kerana air biasa adalah lebih efektif bagi menghidrat badan," jelas doktor itu lagi.

Menurut pengamal-pengamal penjagaan kesihatan, ramai kalangan masyarakat tidak menyedari badan mereka mengalami dehidrasi secara kronik di mana kekurangan air menjadi antara sebab mereka kurang sihat.

Tetapi masyarakat perlu tahu kenapa minum air itu satu keperluan dan air yang macam mana perlu dipilih?

DEHIDRASI



Menurut pengamal perubatan Dr A. Radha, dehidrasi pada badan manusia boleh berlaku dengan agak cepat tanpa disedari.

"Walaupun manusia boleh hidup dengan agak lama tanpa makanan, ia tidak sama dengan situasi tanpa air. Tiga hari tanpa air atau makanan yang mengandungi air adalah cukup bagi mendatangkan kesan mudarat.

"Jika ini berpanjangan selama dua atau tiga hari lagi, kesannya akan membahayakan," kata beliau kepada penulis di sini baru-baru ini.

Badan manusia sebenarnya mengalami kehilangan air setiap masa.

"Setiap hari kita hilang 2.5 liter air dari badan dalam bentuk kencing, peluh, pernafasan serta najis.

"Bila pengambilan air gagal diambil secukupnya, imbangan air dalam badan terjejas dan jika kurangnya pengambilan air, proses dehidrasi badan akan bermula," jelas beliau.

TIDAK CUKUP AIR

Apa akan terjadi jika badan tidak cukup kandungan air yang sepatutnya bagi satu jangkamasa yang panjang? Satu soalan diajukan kepada pengamal perubatan itu.

"Mula-mula isi padu darah akan jadi rendah, kerana menyerahkan sebahagian daripada kandungan air kepada buah pinggang serta organ kumuhan yang lain bagi mengeluarkan toksin dari dalam darah.

"Jadi badan terpaksa bertindak untuk menyesuaikan keadaan. Oleh kerana ia tidak lagi menerima sumber air dari luar, ia (badan) perlu menggunakan bagi keperluannya dengan menarik air dari sumber dalaman iaitu ruang ekstraselular (luar sel).

"Ini menyebabkan sel-sel tidak lagi dikelilingi oleh air yang mencukupi lalu situasi ini menyebabkan fungsi sel terganggu," katanya.

Menurut Dr Radha, sebagai tindakbalas, badan terpaksa mencari sumber yang lain, lalu menarik air dari ruang intraselular (dalam sel) menyebabkan sel-sel kekurangan air yang diperlukan bagi berfungsi dengan baik.

"Bila sel terpaksa menyerahkan kandungan air, fungsi mereka akan gagal atau terbantut dan badan akhirnya akan menjadi lemah.

"Jika badan masih lagi tidak mendapat bekalan air dari sumber eksternal, ia akan mula menarik air dari bahagian dalaman badan dan sel-sel akan mengecut," jelas beliau lagi.

Kata Dr Radha, ramai dari kalangan anggota masyarakat rasakan mereka tidak perlu risau sangat tentang dehidrasi.

"Terdapat jenis dehidrasi kronik yang tidak menunjukkan kesan atau impak yang sama seperti dehidrasi akut tetapi jenis dehidrasi kronik adalah berleluasa dan dialami oleh mereka yang tidak cukup minum air," tambah beliau.



KURANGKAN BERAT BADAN



Menurut pakar-pakar penjagaan kesihatan, minum air adalah baik bagi kesihatan seperti membantu menurunkan berat badan serta menambahkan stamina.

Kata mereka, air yang diminum membantu penjagaan kulit selain memberi imbangan terhadap kalsium badan selain mengeluarkan bahan buangan lemak.

Air yang diminum juga mengurangkan rasa lapar dan air tidak mepunyai apa-apa kalori.

Air juga membantu mengimbangi dan mengawal suhu badan.

"Minum air adalah antara beberapa tindakan sihat yang anda boleh buat untuk badan anda.

"Dengan air, anda boleh menceriakan dan aktif dalam hidup kerana air adalah penting bagi tindakan sel dalam badan.

"Air adalah sesuatu yang tidak mahal tetapi memberi banyak manfaat," tambah beliau.

-- BERNAMA

No comments:

Post a Comment

Get the lowest PRICE booking by ONLINE

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...